Tanggal 1 Julai 1975 merupakan sejarah yang menyaksikan penubuhan UiTM Kampus Dungun di Sura Gate, Dungun, Terengganu. Kampus Sementara ini mempunyai keluasan seluas 17 ekar yang merupakan peninggalan sebuah Syarikat Bijih Besi yang disewa daripada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PERMINT).

Pada masa itu terdapat 22 bangunan kayu yang digunakan sebagai bangunan pentadbiran, bilik-bilik kuliah, perpustakaan dan asrama siswi. Sementara beberapa bangunan seperti di Union Club, Sungai Udang dan Sungai Buaya dijadikan asrama siswa.

Pengubahsuaian bangunan-bangunan dan pembinaan bangunan tambahan di Sura Gate juga dilakukan bagi menampung keperluan pelajar dan staf pada masa itu. Pengubahsuaian tersebut merangkumi 5 buah bangunan lama dijadikan bilik-bilik kuliah, rumah Residen Staf dan surau serta 2 buah stor lama dijadikan Dewan Makan dan 2 blok makmal serta pusat rekreasi pelajar

Walaupun kampus tetap di Sura Hujung telah dibina pada tahun 1982, namun kampus Sura Gate masih digunakan untuk Kajian Sains Kesetiausahaan dan Sijil Perkhidmatan Hotel & Restoran. Pada tanggal 30 April 1998, setelah beroperasi selama hampir 23 tahun, kampus Sura Gate akhirnya dikembalikan kepada kerajaan negeri

sepenuhnya. Sehubungan dengan itu, semua aktiviti dan penempatan pelajar adalah berpusat di kampus Sura Hujung dengan meninggalkan pelbagai kenangan manis danpahit.

Tanggal 19 Oktober 1978, perletakan batu asas kampus tetap UiTM Kampus Dungun telah disempurnakan oleh Almarhun Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Sura Hujung. Kawasan ini meliputi 1,306,536 meter persegi iaitu 342,536 meter persegi di kawasan yang bersempadan pantai Laut China Selatan dan 964,000 meter persegi di kawasan bukit Seberang Sura. 

Pembangunan kampus tetap di Sura Hujung dilaksanakan secara berperingkat-peringkat melalui beberapa fasa. Hasil perlaksanaan 4 fasa tersebut dan pembangunan fizikal di dalam Rancangan Malaysia ke-6 dan ke-7, kini UiTM Kampus Dungun telah membangunkan keseluruhan kawasan di sebelah pantai dan 500,00 meter persegi di seberang tasik.