
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
DUNGUN 1 Mei - Mahasiswa perlu bijak menyaring budaya yang bakal mencorakkan kehidupan mereka agar tidak menyimpang daripada amalan hidup manusia normal.
Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Abdullah Mohamad Said berkata, langkah itu perlu memandangkan gejala tidak sihat dan bertentangan dengan nilai serta norma bangsa kian menular.
''Mahasiswa universiti perlu tahu dan pandai membezakan antara budaya warisan dan budaya untuk merosak dan meruntuhkan sesuatu bangsa malah negara.
''Budaya yang perlu menjadi ikutan dan amalan adalah yang berteraskan kebaikan dan dapat diterima oleh majoriti rakyat Malaysia," ujarnya.
Beliau berpendapat, adalah tidak wajar budaya tidak bermoral menjadi ikutan mahasiswa selaku golongan terdidik yang akan menjadi pewaris bangsa dan negara.
Abdullah berucap pada Program Integrasi Nasional, Pertukaran Budaya 1Malaysia 2012 di UiTM Terengganu di sini baru-baru ini.
Dalam ucapannya juga, beliau berharap program pertukaran dan penyemaian budaya seumpama itu dapat memupuk lebih banyak nilai murni selain semangat sayangkan budaya dan negara.
Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan penganjuran program anak angkat, bengkel tarian dan seni budaya serta khidmat masyarakat.
''Program sebegini akan lebih mendedahkan pelajar kepada budaya setempat di samping mengeratkan hubungan warga universiti dan pendudukan tempatan," ujarnya.
Sementara itu, UiTM Melaka menjuarai pertandingan zapin asli manakala UiTM Terengganu (kedua) dan UiTM Perlis (ketiga).
Sebanyak 10 kumpulan dari kampus-kampus UiTM dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah mengambil bahagian.
Turut diadakan ialah penyampaian hadiah untuk pertandingan deklamasi puisi dan nyanyian lagu asli yang telah dilangsungkan lebih awal.












