This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
Â
DUNGUN 29 Mei - Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu mempertahankan kedaulatan bangsa Melayu dan institusi itu kerana ia adalah satu-satunya universiti di dunia yang dikhususkan untuk satu bangsa iaitu Melayu dan bumiputera.
Pro Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub berkata, graduan juga diingatkan supaya tidak mudah lupa diri dengan kejayaan yang dikecapi dan menghargai jasa institusi itu dengan kembali berbakti.
Beliau yang dianugerahkan Tokoh Melayu Terbilang 2012 pada Perhimpunan Agung UMNO ke-66 baru-baru ini menegaskan, kedaulatan Melayu dan UiTM itu perlu dipertahankan walau di mana pun mereka berada.
Arshad berkata demikian ketika berucap pada pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-76 UiTM Terengganu di sini baru-baru ini.
Arshad juga mengingatkan pelajar supaya bersiap sedia untuk berdepan dengan persaingan dalam dunia kerjaya setelah menamatkan pengajian.
"Graduan perlu lebih kompetitif di pasaran kerja dan membuktikan mereka adalah pelajar terbaik yang dilahirkan UiTM," katanya.
Pada istiadat yang berlangsung selama dua hari itu, seramai 860 graduan UiTM Terengganu menerima ijazah dan diploma masing- masing.
Daripada jumlah itu, seramai 214 graduan dari kampus Dungun dan Kuala Terengganu merupakan penerima ijazah sarjana muda dalam pelbagai program pengajian manakala selebihnya diploma.
Ia merupakan konvokesyen kali keempat yang dianjurkan sendiri oleh UiTM, Terengganu selepas diberikan kuasa autonomi bersama-sama UiTM Kampus Perak, Perlis dan Sarawak.
Arshad berkata, dalam perkembangan dunia yang begitu cepat bergerak, graduan perlu meningkatkan tahap disiplin diri agar tidak terjerat dengan masalah sosial.


























